Tuesday, February 28, 2012

Telefon Pintar Jadi Alat Mengintip





LONDON 27 Feb. - Syarikat-syarikat Internet didakwa menggunakan aplikasi telefon pintar yang diberikan secara percuma, untuk mengintip mesej, memintas panggilan dan menjejaki lokasi pengguna.

Keadaan itu berlaku selepas pengguna menerima terma dan syarat yang jarang dibaca oleh mereka ketika memuat turun aplikasi menyebabkan pembangun aplikasi itu diberi kebenaran untuk mengambil maklumat peribadi.

Laman web Facebook menegaskan penggunanya melalui telefon pintar Android bersetuju memberi kebenaran untuk mereka membaca mesej walaupun laman jaringan sosial itu masih belum mengambil kesempatan ke atasnya lagi.

Laman media sosial, Flickr dan Yahoo! juga didakwa membaca mesej melalui aplikasi mereka manakala aplikasi daripada syarikat-syarikat kecil mengambil maklumat peribadi kehidupan penggunanya.

Mereka juga didakwa boleh mengambil imej daripada kamera telefon bimbit pengguna malah mendail telefon itu dan memintas panggilan tanpa diketahui pemiliknya.

Badan hak asasi peribadi mengkritik penyalahgunaan maklumat peribadi tersebut.

Wakil Privacy International, Emma Draper berkata, maklumat peribadi merupakan komoditi berharga dan syarikat akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mendapatkannya.

Aplikasi Facebook telah dimuat turun ke telefon bimbit Android lebih daripada 100 juta kali tetapi hanya sejumlah kecil penggunanya tahu mereka bersetuju membenarkan jaringan sosial itu kebenaran untuk membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disimpan dalam telefon bimbit atau kad SIM.

Aplikasi berkenaan juga digunakan untuk mengenal pasti lokasi pengguna melalui perisian kedudukan global dan melihat nombor telefon rakan-rakan serta e-mel pengguna selain maklumat laman-laman web yang dilayari

Maklumat itu akan dijual kepada pengiklan dan syarikat pengkaji pasaran. - AGENSI


rujukan : dailymail.co.uk